Selasa, 12 Julai 2011

Badai

Siapa sangka laut tenang bertukar menjadi badai yang menghempas pantai. Tiada siapa sangka. Hidup ini penuh rahsia dan misteri. Rahsia yang tersimpan kukuh disisi Ilahi.


Sekiranya segala apa yang kita pernah buat/keputusan yang kita pernah ambil itu sentiasa betul dan benar, kita tidak akan pernah belajar. Namun kita juga sering lupa bahawa hidup ini sering mencabar dan menguji kita. Bila apa yang kita mahukan diperolehi, maka kita bergembira, namun jika sebaliknya, kita akan berduka lara.

Seorang sahabat menasihati:
"Saat kau tidak mengerti maksud Tuhan, cubalah memilih untuk percaya. Saat kau tertekan penuh kekecewaan, cubalah memilih untuk bersyukur. Saat rencana hidupmu tidak berjalan dengan sempurna, cubalah memilih untuk berserah, bukan menyerah. Saat putus asa melingkupimu, cubalah memilih tetap maju dan berjalan bersama Allah."

Pernah tidak dalam hidup ini, tatkala keadaan tidak memihak kepada kita dan menyebabkan kita rasa begitu tertekan, kita kembali kepada Allah? Padahal Allah mengajar kita, bilamana kita mengalami situasi ini kita diseru untuk berdoa:
"Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dialah sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)" (QS3:173)

Indah bukan? Tatkala kita rasa berputus asa, Allah mengajarkan kita dengan doa yang diajarkan kepada Nabi Yunus:
"Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri." (QS21:87)

Kita selalu melihat para penguasa menggunakan kuasa mereka. Jika ia berpihak kepada kita, kita akan gembira, jika sebaliknya kita akan resah gelisah. Wahai hati, ingatlah janji ini:
"Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (QS2:26)

Wahai hati bersabarlah.

Hidup ini satu pilihan, maka pilihlah...
Gold. Glory. Grave.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan