Isnin, 9 Jun 2014

Ikutilah Jalannya

Jangan gopoh menjadi mujtahid.

Telah menulis Ustaz Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi  Syed Shahridzan dalam status FB nya pada 8 Rejab 1435H bersamaan 8 Mei 2014.

Beliau menulis:
---
SIKIT-SIKIT, LAMA-LAMA JADI BUKIT

Seorang penuntut ilmu haruslah mendalami fiqh mazhab dahulu sebelum meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Sesungguhnya para ulama yang telah sampai ke tahap mujtahid mazhab dan pentarjih antara mazhab-mazhab , sebelum itu mereka mendalami dan memahami fiqh mazhab yang diamalkan di tanah tumpah mereka.

Imam al-Zahabi Rahimahullah berkata di dalam karangannya “Siyar A’lam al-Nubala”:

شأن الطالب أن يدرس أولا مصنفا في الفقه، فإذا حفظه، بحثه، وطالع الشروح، فإن كان ذكيا، فقيه النفس، ورأى حجج الائمة، فليراقب الله، وليحتط لدينه، فإن خير الدين الورع، ومن ترك الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه، والمعصوم من عصمه الله.

Maksudnya: "Seorang penuntut ilmu haruslah mempelajari kitab fiqh terlebih dahulu. Apabila dia menghafalnya lalu dia menggalinya (isi) dan merujuk syarah-syarahnya, jikalau dia seorang yang bijak dan faqih serta mengkaji hujah-hujah para imam, maka hendaklah dia bermuraqabah terhadap Allah dan berhati-hati pada agamanya. Sesungguhnya sebaik-baik beragama adalah warak dan sesiapa yang meninggalkan syubahat maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Orang yang maksum adalah yang dimaksumkan oleh Allah Ta’ala."

Nasihat Imam Zahabi kepada setiap penuntut ilmu supaya berjalan di atas landasan yang telah dilalui oleh para ulama salaf dan khalaf kerana inilah jalan yang mereka lalui sebelum menjadi ilmuan yang begitu hebat. Tidak mungkin seseorang itu mampu untuk mencapai tahap yang tinggi sebelum merentasi tahap yang lebih rendah.

Maksud kata-kata beliau lagi, seseorang yang ingin sampai ke tahap memilih dan menapis pelbagai pendapat, haruslah mencapai kemampuan yang dinamakan sebagai bijak dan faqih. Kebijaksanaan dan pemahaman tinggi hanya dapat diasah bermula dari pembelajaran dari peringkat yang paling asas.

Wallahu A'lam

---
Semoga apa yang dikongsikan dapat diambil manfaat.

Ikuti beliau di https://www.facebook.com/syed.shahridzan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan