Isnin, 23 Jun 2014

Alim vs Terkenal

Ada orang alim lagi terkenal. Ada yang alim tapi tak terkenal. Ada juga yang terkenal tapi tidak alim.

Telah menulis Ustaz Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi  Syed Shahridzan pada status FBnya pada 12 Rejab 1435H bersamaan 12 April 2014M.


Beliau menulis:
---
YANG LEBIH ALIM TIDAK SEMESTINYA LEBIH TERKENAL

ابن خزيمة : حدثني أبو جعفر السكرى صديق الربيع ، قال لما مرض الشافعي ، رحمه الله ، جاء ابن عبد الحكم ينازع البويطي في مجلس الشافعي ، فقال البويطي : أنا أحق به منك . فجاء الحميدي ، وكان بمصر ، فقال : قال الشافعي : ليس أحد أحق بمجلسي من البويطي ، وليس أحد من أصحابي أعلم منه . فقال له ابن عبد الحكم : كذبت . فقال الحميدي : كذبت أنت وأبوك وأمك ، وغضب ابن عبد الحكم ، فترك مجلس الشافعي . 

Imam Ibn Khuzaimah berkata: Abu Ja'afar al-Sukkari kawan al-Rabi' berkata kepadaku, ketika Imam al-Syafi'ie -Radiyallahu 'Anhu- sedang sakit, lalu Ibn Abd al-Hakam berselisih dengan al-Buwaiti mengenai majlis (ilmu) al-Syafi'ie (siapa yang berhak menggantikan Imam Syafi'ie). 

Al-Buwaiti berkata, "Aku lebih berhak dari engkau".

Kemudian al-Humaidi pun datang dan ketika itu beliau di Mesir, lalu berkata, "al-Syafi'ie pernah berkata, 'Tiada sesiapa yang berhak ke atas majlisku selain dari al-Buwaiti dan tiada seorang pun dari kalangan anak-anak muridku yang lebih alim darinya'." 

Maka Ibn Abd al-Hakam berkata, "Engkau berbohong", Lalu al-Humaidi membalas, "Kau yang berbohong begitu juga bapa dan ibu kau." Ibn Abd al-Hakam marah, lantas meninggalkan majlis al-Syafi'ie.
_____________________

Imam al-Buwaiti merupakan anak murid Imam Syafi'ie paling faqih dan berilmu berbanding anak-anak murid gurunya. Namun ia tidak terkenal seperti rakannya iaitu Imam al-Muzani yang juga terkenal dengan karangannya yang mencatatkan fatwa gurunya dan juga merupakan ringkasan kitab al-Umm.

Sedangkan Imam al-Buwaiti juga memiliki karya yang menghimpunkan fatwa-fatwa Imam Syafi'ie yang diberi nama "Mukhtasar al-Buwaiti". Sayangnya kitab ini tidak dicetak seperti tercetaknya "Mukhtasar al-Muzani" secara berleluasa. Malah mukhtasar al-Buwaiti tidak termasuk di dalam 5 rujukan utama yang masyhur di dalam mazhab Syafi'ie seperti "Mukhtasar al-Muzani" (Rujuk: Tahzib al-Asma' wa al-Lughat, al-Nawawi) 
_____________________
Catatan:

*Al-Rabi': Al-Rabi' bin Sulaiman bin Abdul Jabbar al-Muradi anak murid Imam Syafi'ie, beliau banyak meriwayatkan fatwa-fatwa gurunya. Antara imam-imam hadith yang meriwayatkan dari beliau ialah Imam Abu Daud, al-Nasa'ie dan Ibn Majah.

*Al-Humaidi: Abu Bakar Abdullah bin Zubair al-Humaidi, anak murid dan rakan Imam Syafi'ie. Imam Bukhari meriwayatkan dari beliau di dalam Sahihnya.

* Al-Buwaiti:ِ Abu Ya'qub Yusuf bin Yahya al-Misri al-Buwaiti, anak murid Imam al-Syafi'ie.

* Ibn Abd al-Hakam: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam, salah seorang daripada murid Imam Syafi'ie, banyak meriwayatkan Qaul Jadid Imam. Beliau akhirnya berpindah kepada mazhab bapanya iaitu mazhab Maliki. Imam Ibn Abd al-Hakam dikira sebagai antara ulama-ulama besar mazhab Maliki.
______________________
Wallahu A'lam

Abu Ruqayyah Ba 'Alawi
---
Semoha apa yang dikongsikan dapat dimanfaatkan.

Ikuti beliau di https://www.facebook.com/syed.shahridzan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan