Khamis, 19 Jun 2014

Kitab Raudah Al-Talibin Wa Umdah Al-Muftiin

Pada kali ini kita akan berkenalan dengan Kitab Raudah Al-Talibin Wa Umdah Al-Muftiin.
Ustaz Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi  Syed Shahridzan menulis di FB beliau pada 13 Rejab 1435H bersamaan 13 Mei 2014.

Beliau menulis:
---
SILSILAH KITAB "RAUDAH AL-TALIBIN WA UMDAH AL-MUFTIIN"

Antara kitab yang dikarang oleh Imam al-Nawawi(meninggal: 676h) mengenai fiqh mazhab Imam Syafi'ie -Radiyallahu 'anhu-. 'Raudah al-Talibin' merupakan antara rujukan-rujukan utama fiqh mazhab Syafi'ie. Kitab ini merupakan ringkasan dari kitab "Fath al-'Aziz Syarh al-Wajiz" atau dikenali sebagai "al-Syarh al-Kabir" karangan Imam Abu al-Qasim al-Rafi'ie(meninggal: 623h).

Kitab 'al-Syarh al-Kabir' atau Fath al-'Aziz adalah kitab yang mensyarahkan karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazzali(meninggal: 505h) yang diberi nama "al-Wajiz fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi'ie".

Kitab 'al-Wajiz' pula ringkasan dari kitab "al-Wasit fi al-Mazhab" juga karya Imam al-Ghazzali.

Manakala kitab 'al-Wasit' pula hasil tulisan Imam al-Ghazzali yang meringkaskan sebuah lagi karya beliau iaitu "al-Basit Fi al-Mazhab".

Imam al-Ghazzali mengarang kitab al-Basit bagi tujuan meringkaskan karya guru beliau iaitu Imam al-Haramain al-Juwaini(meninggal: 478h) yang diberi nama "Nihayah al-Matlab Fi Dirayah al-Mazhab".

Kitab Nihayah al-Matlab adalah kitab yang mensyarahkan kitab "Mukhtasar al-Muzani" yang menghimpun fatwa-fatwa Imam al-Syafi'ie(meninggal: 204h) mengikut bab-bab fiqh. Ia dikarang oleh Imam al-Muzani(meninggal: 264h) anak murid Imam al-Syafi'ie di Mesir.
______________________________

Raudah al-Talibin (al-Nawawi) ---> al-Syarh al-Kabir (al-Rafi'ie) ---> al-Wajiz (al-Ghazzali) ---> al-Wasit (al-Ghazzali) ---> al-Basit (al-Ghazzali) ---> Nihayah al-Matlab (al-Juwaini) ---> Mukhtasar al-Muzani ---> Imam Muhammad bin Idris al-Syafi'ie Radiyallahu 'anhu.
______________________________

Abu Ruqayyah Ba 'Alawi
---
Semoga apa yang dikongsikan dapat dimanfaatkan.

Ikuti beliau di https://www.facebook.com/syed.shahridzan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan