Ahad, 28 Julai 2013

Apa Yang Perlu Diucapkan Bila Bertemu Lailatul Qadar?

Malam seribu bulan semakin hampir, maka mungkin terfikir, apakah yang perlu didoakan/diucapkan semasa bertemu Lailatul Qadar.

Maka dengan sebab itu, TK ingin membawa sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmidzi rahimahullah (w279H) dalam kitabnya Al-Jami’ al-Mukhtasar min al-Sunan ‘An Rasulillah solallahu 'alahi wasallam wa Ma’rifah al-Sahih wa al-Ma’lul wa ma ‘alaih al-‘Amal dalam bab-bab doa dari Rasulullah solallahu 'alaihi wasallam, hadith bernombor 3580 [1] yang bermaksud:

Menyampaikan kepada kami Qutaibah bin Sa'id, mengkhabarkan kepada kami Ja'far bin Sulaiman adh-Dhuba'ie dari Kahmas bin al-Hassan dari Abdillah bin Buraidah dari 'Aisyah berkata, aku berkata, wahai Rasulullah beritahukanlah kepadaku kalau aku mengetahui suatu malam adalah malam al-Qadr, apa yang perlu aku ucapkan pada malam itu? Baginda bersabda, ucapkanlah:
(Wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni, maka ampunilah aku).
Ini adalah hadith hasan sahih.

Dalam cetakan lain [2] hadith ni dicatatkan bernombor 3435, hadith ini juga boleh dijumpai [2] di dalam Sunan Ibn Majah (3840) dan Musnad Ahmad (24215, 24320, 2322, 24330, 24559 & 25018).

al-Imam an-Nawawi rahimahullah (w676H) menambah dalam kitabnya al-Adzkar [3]:

Berkata para sahabat kami, dianjurkan supaya dia memperbanyak dari doa ini. Dan dianjurkan juga memperbanyak membaca al-Quran dan lain-lain zikir serta doa yang dituntut membacanya pada tempat-tempat yang mulia, yang mana semua ini diterangkan secara terperinci dengan berkumpul ataupun terpecah-pecah. Berkata Imam Syafi'ie rahimahullah, aku menganjurkan supaya dia berusaha untuk mencari Lailatul Qadar itu pada siang harinya sebagaimana dia mencari pada malam harinya. Dan ini kata-katanya, dianjurkan supaya seseorang itu memperbanyakkan doa-doa untuk kepentingan kaum Muslimin, kerana itu adalah syiar atau tanda-tanda orang-orang yang soleh dan hamba Allah yang arif, dan kepada Allah kita memohon taufikNya.

Semoga Allah mengurniakan kita dengan rahmat dan kasih sayangnya untuk bertemu dengan malam al-Qadr ini.

Rujukan:
[1] Tarjamah Sunan at-Tirmidzi, Drs. H. Moh. Zuhri, Dipl. TAFL, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1993, Jilid 5, ms 454.
[2] http://lidwa.com/app/
[3] Kumpulan Doa & Zikir (al-Adzkar lin-Nawawi), Syed Ahmad Semait, Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura, 2010, ms 377-378.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan