Jumaat, 26 Disember 2014

Puteri-puteri Rasulullah

Sejarah merakamkan bahawa Rasulullah mempunyai empat orang anak perempuan. Maklumat yang ingin TK kongsikan ini diperolehi daripada kuliah yang diadakan di IIS Setiawangsa oleh Ustaz Adlan Abd Aziz pada 3 Rabiulawal 1436 Hijrah bersamaan 25 Disember 2014.

Tujuan kuliah ini diadakan bagi mengingati sejarah Nabi Muhammad dan keluarga baginda. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyebarkan maklumat berkaitan Nabi.

Nabi mempunyai 4 orang anak perempuan iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kulthum dan Fatimah.

Anak perempuan yang paling tua ialah Zainab dan yang paling muda ialah Fatimah. Mereka dilahirkan dari ibu yang sama iaitu Khadijah dan dilahirkan sebelum zaman kenabian. Kesemua mereka mendirikan rumahtangga. Kesemua mereka meninggal dunia ketika baginda Nabi masih hidup kecuali Fatimah. Mereka hidup dalam kesederhanaan dan sentiasa diuji oleh Allah.

Zainab

Dikatakan bahawa perkataan 'zainab' adalah sejenis tumbuhan yang mempunyai bunga cantik berwarna putih. Zainab dilahirkan selepas Qasim dan dilahirkan 10 tahun sebelum kenabian. Beliau dikahwinkan oleh Baginda dengan seorang lelaki yang baik iaitu Abu Al-'As. Abu al-'As merupakan sepupu Zainab dan seorang peniaga. Zainab mempunyai dua orang anak iaitu Ali (meninggal ketika kecil) dan Umamah. Nabi pernah solat sambil mendukung Umamah.  [Terdapat kisah cinta menyayat hati antara Zainab dan Abu al-'As.] Zainab meninggal dunia pada tahun 8 Hijrah.

Ruqayyah

Beliau merupakan anak kedua Nabi, dilahirkan 7 tahun sebelum Rasulullah diangkat menjadi Nabi. Dikahwinkan dengan seorang yang mulia iaitu Uthman al-Affan. Beliau berhijrah ke Habsyah bersama suaminya. Beliau mempunyai anak yang bernama Abdullah. Abdullah meninggal dunia di Madinah. Tidak lama kemudian Ruqayyah meninggal pada tahun ke 2 Hijrah.

Ummu Kulthum

Kulthum bermakna pipi yang tembam. Beliau dilahirkan setahun selepas Ruqayyah. Beliau berkahwin dengan Uthman al-Affan pada tahun ke 3 Hijrah. Allah mentakdirkan Ummu Kulthum tidak mempunyai anak. Beliau meninggal dunia pada tahun ke 9 Hijrah.

Fatimah

Beliau dilahirkan 6 tahun sebelum kenabian.  Beliau merupakan anak yang paling menyerupai baginda Nabi. Rasulullah mengahwinkan Fatimah dengan seorang yang hebat iaitu Ali bin Abi Talib. Beliau dikurniakan anak yang ramai, antaranya ialah Hasan dan Husin. Meninggal dunia 6 bulan selepas Nabi wafat.

Rasulullah juga mempunyai 3 orang anak perempuan tiri iaitu seorang dari Khadijah dan dua orang dari Ummu Salamah.

Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad.
---
Banyak lagi perkara dan peristiwa menarik dalam kuliah ini, untuk mengetahuinya, bolehlah mendengar rakaman yang boleh dimuat  turun di bahagian Audio.

Hidup ini satu pilihan,  maka pilihlah...
Gold.  Glory. Grave.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan