TK ingin berkongsi maklumat yang dirasakan penting sebab ia berlaku hampir saban hari. Telefon bimbit berbunyi semasa solat berjemaah terutama di masjid ataupun surau. TK megambil tulisan ini dari FB Ustaz Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi Syed Shahridzan.
Artikel ini ditulis pada 14 Rabiulakhir 1435 bersamaan 14 Februari 2014. Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi Syed Shahridzan menulis:
---
TELEFON BIMBIT BERBUNYI KETIKA SOLAT, PERLU DIMATIKAN ATAU DIBIARKAN? JIKA BERTINDAK TAKUT TERBATAL SOLAT. JADI, APA KATA MAZHAB SYAFI’IE?
Secara ringkasnya, menurut mazhab Imam Syafi’ie pergerakkan yang membatalkan solat adalah seperti yang dinyatakan di dalam kitab ‘al-Fiqh al-Manhaji’ (Kitab fiqh Syafi’ie yang dikarang oleh ulama-ulama dari Syria):
Maksudnya: Yang dimaksudkan (pergerakkan yang banyak) iaitu perbuatan yang berlainan dari perbuatan-perbuatan solat dengan syarat pergerakkan itu banyak dan berturut-turut kerana ia bercanggah dengan tatacara solat. Piawaian pergerakkan yang banyak ialah tiga pergerakkan yang berturut-turut, manakala piawaian perturutan ialah perbuatan yang dikira berlaku berturut-turut mengikut adat atau kebiasaan (masyarakat), maka solat terbatal. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji)
Apa yang disebut oleh ulama-ulama Syafi’iyyah di atas adalah kaedah asas di dalam mazhab sebagai laras ukuran untuk menentukan pergerakkan apa yang membatalkan solat. Namun masih ramai yang masih keliru dengan maksud sebenar mengenai konsep di atas. Sebenarnya mazhab Syafi’ie tidak lah rigid di dalam perbahasan ini sepertimana yang disangkan oleh sebahagian pihak sehingga mendakwa pendirian mazhab Syafi’ie tidak bertepatan dengan sunnah dalam isu ini, malah para ulama mazhab Syafi’ie meletakkan pelbagai perbincangan yang terperinci mengenai perkara pembatalan solat melalui pergerakan dan perbuatan.
Di sini saya bawakan fakta yang terkandung di dalam salah sebuah kitab rujukan atau teks yang utama di dalama mazhab Syafi’ie yang diberi nama “Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj” yang dikarang oleh al-Imam Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syarbini (Meninggal 977h). Bagi saya kitab ini telah membincangkan isu pergerakan atau perbuatan yang membatalkan solat dengan menarik, jelas dan agak terperinci, antaranya:
Maksudnya: Jika perbuatan (solat) bukan dari jenis perbuatannya seperti berjalan dan memukul maka solat itu batal dengan perbuatan yang banyak walaupun terlupa kerana ia tidak melibatkan hajat(keperluan). Manakala jika keperluan mendesak seperti solat di dalam ketakutan yang amat atau bersolat sunat di atas tunggangan, jika perlu menggerakkan tangannya atau kaki maka ia tidak memudaratkan(membatalkan solat) walaupun banyak (pergerakan) bukan sedikit, meskipun dengan sengaja. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, al-Syarbini)
Berdasarkan kenyataan di atas, Imam al-Syarbini menjelaskan bahawa seseorang itu boleh menggerakkan anggotanya banyak kali di dalam solat jika dalam keadaan yang berhajat dan mendesak untuk melakukan begitu. Maka dalam situasi ini, solat sebegini tidak terbatal walaupun pergerakan yang banyak. Menurut beliau lagi:
Maksudnya: Perbezaan antara perbuatan dan percakapan di mana sedikitnya dan banyaknya adalah sama dari sudut pembatalan, ini kerana perbuatan diberi keuzuran atau susah untuk dijaga(dikawal), maka dimaafkan pada kadar yang tidak merosakkan solat, berlainan pula percakapan(ia membatalkan solat walaupun sedikit). Sepertimana yang diriwayatkan, “Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersolat dan baginda mendukung Umamah cucu Baginda, apabila Baginda SAW hendak sujud maka Baginda SAW meletak cucu dan apabila Baginda SAW bangkit, baginda mendukungnya.” Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Baginda SAW memerintahkan agar membunuh ‘al-aswadain’ ketika solat, iaitu ular dan kala jengking dan menanggalkan selipar ketika solat. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, al-Syarbini)
Kenyataan di atas secara jelas menunjukkan bahawa di dalam mazhab syafi’ie pergerakan yang tidak merosakan solat iaitu pergerakan yang sedikit tidak membatalkan berdasarkan amalan Nabi SAW seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syarbini. Menurut beliau lagi:
Maksudnya: Menurut pendapat yang paling tepat, banyak dan sedikit berdasarkan amalan kebiasaan atau adat, maka apa yang dikira sedikit oleh masyarakat seperti menanggalkan khuf, memakai pakaian ringan dan membunuh kutu yang dimaafkan darahnya maka ia dianggap (pergerakan yang) sedikit(tidak membatalkan solat). (Rujuk: Mughni al-Muhtaj)
Imam al-Syarbini menjelaskan bahawa terdapat perbezaan di antara ulama-ulama mazhab Syafi’ie dalam menginterpretasikan maksud pergerakan yang banyak atau sedikit dimana terdapat pentafsiran yang lain menurut sebahagian ulama syafi’iyyah yang lain, menurut beliau:
Maksudnya: Dikatakan bahawa (pergerakan) sedikit iaitu apa yang tidak memerlukan kedua-dua tangan, manakala pergerakan yang banyak adalah apa yang memerlukan kedua-dua tangan seperti mengikat kain atau serban. Dikatakan juga pergerakan yang banyak ialah tempoh pergerakannya dalam kiraan satu rakaat. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, al-Syarbini)
Jelas di sini, dalam isu pergerakkan yang membatalkan solat, mazhab Syafi’ie tidak lah seketat yang disangkakan. Apa yang dimaksudkan pergerakkan 3 kali berturut-turut ialah pergerakkan yang tidak diperlukan, tanpa hajat penting dan keperluan mendesak. Jika seseorang yang sedang bersolat lalu berlaku sesuatu yang mendesak beliau untuk bergerak walaupun banyak dan berturut-turut maka solat tidak terbatal menurut mazhab Syafi’ie.
Sebagai contoh telefon bimbit berbunyi ketika solat, maka empunya telefon wajib mematikannya kerana ia boleh mengganggu kekhusyukan seseorang ketika solat apatah lagi mengganggu orang yang lain jika berada di dalam masjid atau surau. Ini kerana perbuatan sebegini jelas tidak membatalkan solat seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syarbini. Lagipun terdapat perbezaan pendapat di antara ulama mazhab Syafi’ie di mana sebahagian pendapat itu dilihat lebih ringan berbanding pendapat yang biasa kita amalkan, malah ia wajar dilihat sebagai pendapat di dalam mazhab yang boleh diguna pakai.
Wallahu A’lam...
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Kuala Lumpur
---
TK ada meninggalkan perkataan Arab pada tulisan asal kerana bila disalin tampal, terdapat perubahan kedudukan perkataan. Oleh kerana TK tidak arif dalam bahasa Arab, maka TK tidak meletakkannya di entri ini.
Semoga apa yang dikongsikan dapat dimanfaatkan.
Ikuti beliau di https://www.facebook.com/syed.shahridzan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan