Khamis, 17 April 2014

Jangan Bersangka Buruk Pada Si Mati

Janganlah kita bersangka buruk kepada si mati walau apa pun keadan akhir si mati tersebut. Bersangka baik. Bersangka baik. Bersangka baik.

Tulisan ini TK ambil dari FB Ustaz Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi  Syed Shahridzan. Ditulis pada 17 Jamadilawal 1435H bersamaan 19 Mac 2014.

Beliau menulis:
---
Mereka yang telah pergi tidak layak untuk dihina dan dipandang rendah. Sebagai orang Islam, tanggungjawab kita adalah mendoakan mereka yang kini berada di alam barzakh. Dalam sebuah riwayat menyebut:

عن عثمان بن عفان رضي الله عنه, كَانَ النَّبِيُّ إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ , قَالَ : " اسْتَغْفِرُوا لِمَيِّتِكُمْ وَاسْأَلُوا لَهُ التَّثْبِيتَ فَإِنَّهُ الآنَ يُسْأَلُ. رواه البيهقي في كتاب إثبات عذاب القبر

Maksudnya: Saidina Uthman bin 'Affan meriwayatkan, bahawasanya setelah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam selesai mengkebumikan mayat lalu Baginda SAW bersabda, "Mohonlah pengampunan (dari Allah) untuk saudara kamu yang telah meninggal dunia ini dan mohonlah (kepada Allah) untuknya ketetapan(dalam menjawab soalan malaikat), sesungguhnya sekarang dia sedang disoal (oleh malaikat)". Hadith riwayat al-Baihaqi.

Kita perlu JAUHI perasaan SANGKA BURUK terhadap si mati. Firman Allah Ta'ala di dalam surah al-Hujurat, ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani".

Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam

،قَالَ: إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ ، فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ ، وَلاَ تَحَسَّسُوا ، وَلاَ تَجَسَّسُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَلاَ تَبَاغَضُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا. رواه الإمام أحمد والبخاري في الأدب المفرد

Maksudnya: “Jauhilah sifat prasangka buruk kerana sifat berprasangka (buruk) itu adalah sedusta-dusta bicara, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan, jangan mengintip-intip, janganlah kamu berdengki-dengki, janganlah kamu membelakangi antara kamu dan janganlah kamu berbenci-benci. Dan hendaklah kamu semua menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara.” Riwayat Imam Ahmad dan Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad

Imam al-Syafi'ie Radiyallahu 'Anhu berkata:

من أحب أن يقضي الله له بالخير فليحسن الظن بالناس

Maksudnya: "Sesiapa yang suka/ingin Allah menjadikan pengakhiran hidupnya dalam keadaan baik, maka hendaklah dia bersangka baik terhadap manusia". (Rujuk: al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Imam Nawawi)

---
Semoga apa yang dikongsikan dapat dimanfaatkan.

Ikuti beliau di https://www.facebook.com/syed.shahridzan 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan