Khamis, 1 Mei 2014

Bisinglah Masjid Ni, Nak Tidur Pun Tak Senang

Pernah terbaca bahawa terdapat rungutan dari masyarakat tentang kebisingan yang dihasilkan oleh masjid pada waktu-waktu tertentu. Bagaimana agama mengajar kita tentang perkara ini?

Tulisan ini TK ambil dari FB Ustaz Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi  Syed Shahridzan. Ditulis pada 14 Jamadilakhir 1435H bersamaan 14 April 2014.

Beliau menulis:
---
CUKUP LAH SEKADAR AZAN

Semenjak dahulu lagi saya tidak pernah bersetuju laungan bacaan ayat suci al-Quran atau zikir-zikir dipasang pada pembesar suara di masjid-masjid dan surau-surau. Cukup lah azan sebagai penanda masuknya waktu solat dan penyeru umat untuk ke rumah Allah Ta'ala. Ini kerana ayat suci al-Quran itu untuk didengari dan dihayati oleh umat:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” Surah Al-A’raaf, ayat 204.

Ayat suci al-Quran bukan dipasang sebagai aset yang meriuhkan suasana dan tempat, seperti orang ramai di restoran menikmati makanan enak sambil berborak-borak dengan rakan-rakan di samping lagu-lagu dimainkan di corong-corong radio.

Imam Nawawi rahimahullah menegaskan di dalam 'al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran':
ومما يعتنى به ويتأكد الأمر به احترام القرآن من أمور قد يتساهل فيها بعض الغافلين القارئين مجتمعين. فمن ذلك اجتناب الضحك واللغط والحديث في خلال القراءة إلا كلاما يضطر إليه
Maksudnya: "Dan perkara yang harus diberi perhatian untuk memastikan al-Quran dihormati dari urusan-urusan yang kadangkala diambil riang oleh sebahagian pembaca (al-Quran) yang lalai. Sebagai contoh: mengelakkan ketawa dan bercakap ketika bacaan al-Quran melainkan bicara yang terpaksa dilakukan."

Jadi al-Quran untuk didengar dengan taat bukan untuk didengar sambil melakukan perkara-perkara yang lain seperti bersukan, menonton tv, berbual-bual dan lain-lain lagi. Jika pihak masjid memasang bacaan al-Quran di mana masyarakat sekeliling tidak bersedia untuk mendengarnya, lalu mereka tidak mendengar al-Quran itu dan menghayatinya, maka pihak masjid telah melakukan penghinaan terhadap al-Quran itu sendiri.

Al-Quran yang dibacakan secara kuat boleh mengganggu orang ramai dan perkara ini dilarang oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam:
عن البياضي أن رسول الله صلى الله عليه وسلم خرج على الناس وهم يصلون وقد علت أصواتهم بالقراءة فقال إن المصلي يناجي ربه فلينظر بما يناجيه به ولا يجهر بعضكم على بعض بالقرآن. رواه الإمام مالك في الموطأ,
Maksudnya: al-Bayadi meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam pergi kea rah manusia yang sedang mendirikan solat, sedangkan suara mereka tinggi dengan bacaan (al-Quran). Lalu Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya orang yang sedang bersolat itu sedang bermunajat kepada Tuhannya Subhanahu wa ta’ala, maka seharusnya dia mengetahui apa yang dimunajatkan itu dan janganlah pula sebahagian kamu mengeraskan suara melebihi yang lainnya dalam membaca al-Qur'an.” (Hadith riwayat Imam Malik)

Dalam hadith yang lain, Baginda SAW secara jelas melarang mengganggu orang lain dengan bacaan al-Quran dengan suara yang tinggi dank eras, seperti mana yang diriwayatkan:
عن أبي سعيد ، قال : اعتكف رسول الله صلى الله عليه وسلم في المسجد ، فسمعهم يجهرون بالقراءة ، فكشف الستر ، وقال : ألا إن كلكم مناج ربه ، فلا يؤذين بعضكم بعضا ، ولا يرفع بعضكم على بعض في القراءة أو قال في الصلاة. رواه أبو داود
Saidina Abu Sa’id al-Khudri Radiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam beriktikaf di dalam masjid, lalu baginda mendengar orang ramai mengeraskan bacaan (al-Quran), maka Baginda SAW menyelak langsir seraya bersabda, “Setiap daripada kamu sedang bermunajat kepada Tuhannya. Janganlah sebahagian daripada kamu mengganggu yang lainnya. Janganlah kamu menguatkan suara kamu melebihi yang lain sewaktu membaca al-Quran atau ketika kamu sedang solat.” (Hadith riwayat Imam Abu Daud)

Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata di dalam al-Majmuk li al-Fatawa:
ليس لأحد أن يجهر بالقراءة بحيث يؤذي غيره كالمصلين
Maksudnya: Tidak sepatutnya seseorang itu mengeraskan bacaannya di mana boleh mengganggu orang lain seperti orang-orang yang bersolat.

Bacaan al-Quran atau zikir(Tarhim) sebelum masuk waktu mengganggu orang ramai yang mungkin sedang berehat atau sibuk menguruskan tanggungjawab. Begitu juga berapa ramai keluarga yang memiliki anak kecil yang perlukan rehat yang cukup dan tidak terganggu dengan bunyian yang kuat dan berpanjangan.

Begitu juga kita perlu menghormati hak bukan Islam supaya mereka tidak terganggu dengan bacaan zikir dan ayat suci seawal hening subuh pagi di mana saat itu merupakan waktu mereka masih memerlukan rehat atau tidur sebelum memulakan tugasan yang baru.
Cukuplah sekadar azan dilaungkan tanpa alunan tambahan dalam tempoh yang panjang sebelum masuk waktu terutama di subuh pagi.

KESIMPULAN

1) Tidak perlu laungan ayat suci al-Quran dan zikir sebelum azan kerana meletakkan eleman suci ini tidak dihormati oleh masyarakat yang tidak bersedia untuk mendengar dan menghayati kerana dipasang tidak sesuai pada waktunya.
2) Laungan tambahan sebegini boleh mengganggu orang ramai apatah lagi golongan bukan Islam yang semestinya Islam bukan agama mereka.
3) Jika kita mengharapkan golongan bukan Islam perlu menghormati hak kita untuk melaungkan azan, maka kita juga wajib menghormati mereka agar mereka tidak diganggu dengan amalan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh umat Islam atas nama agama.
4) Lagipun, memasang bacaan al-Quran dan zikir dengan kuat bukan syiar atau perkara yang dituntut, malah ia jelas dilarang oleh Baginda SAW jika ia mengganggu orang lain. Syiar yang wajib dipertahankan adalah hanya AZAN untuk setiap kali masuk waktu solat.
5) Sesiapa yang memasang al-Quran pada tempat dan waktu yang tidak sesuai yang menyebabkan orang lain tidak menghormati al-Quran dengan mendengar dan menghayatinya, maka pihak yang memasang al-Quran itu atau mengarahkan yang bertanggungjawab atas salahlaku ini dan mendapat dosa.
6) Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam melarang bacaan al-Quran yang kuat atau keras kerana ia boleh mengganggu orang lain, jika al-Quran dengan bacaan keras sehingga mengganggu orang lain, apatah lagi laungan zikir(tarhim) dan ceramah-ceramah agama yang dipasang kuat di luar masjid dan surau.

Wallahu A'lam
Abu Ruqayyah Ba 'Alawi
---
Semoga apa yang dikongsikan dapat dimanfaatkan.

Ikuti beliau di https://www.facebook.com/syed.shahridzan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan