Perlukah sapu anggota wuduk? Jirus je tak boleh ke?
Tulisan ini TK ambil dari FB Ustaz Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi Syed
Shahridzan. Ditulis pada 1 Jamadilawal 1435H bersamaan 3 Mac 2014.
Beliau menulis:
---
Koleksi soalan:
Apakah hukum menyapu anggota wuduk ketika mengambil air wuduk? Saya
pernah ditegur oleh seseorang ketika itu saya hanya mencurahkan air pada
tangan tanpa menyapu ketika berwuduk, katanya tidak sah wuduk saya
sehinggalah saya menyapunya dengan tangan.
Jawapan:
Permasalahan gosok atau sapu ketika wuduk atau mandi wajib perkara yang diperselisihkan oleh para ulama. Majoriti ulama menyatakan
ia adalah sunat selagimana air itu sampai ke anggota-anggota wajib
wuduk atau keseluruhan tubuh untuk mandi janabah(junub). Pendapat sunat
menyapu dengan tangan adalah pendapat mazhab Imam Syafi’ie Radiyallahu
‘Anhu, seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi Rahimahullah:
مذهبنا أن دلك الأعضاء في الغسل وفي الوضوء سنة ليس بواجب فلو أفاض الماء
عليه فوصل به ولم يمسه بيديه أو انغمس في ماء كثير أو وقف تحت ميزاب أو تحت
المطر ناوياً فوصل شعره وبشره أجزأه وضوؤه وغسله، وبه قال العلماء كافة
إلا مالكاً والمزني فإنهما شرطاه في صحة الغسل والوضوء. (الإمام النووي,
المجموع شرح المهذب, كتاب الطهارة)
Maksudnya: Menurut mazhab
kami(Syafi’ie) sesungguhnya menyapu/menggosok badan (dengan telapak
tangan) ketika mandi(junub) dan wuduk adalah sunat bukannya wajib.
Meskipun seseorang itu menyiram air pada badannya maka air itu sampai
dan dia tidak menyentuh badan dengan kedua-dua tangannya, atau seseorang
itu berendam di dalam air yang banyak, atau berdiri di bawah air pancur
atau di bawah hujan dalam keadaan niat (bersuci), lalu air sampai ke
rambutnya dan kulitnya, maka wuduk dan mandinya dikira sah. Ini adalah
pendapat keseluruhan ulamak kecuali (Imam) Malik dan (Imam) al-Muzani di
mana mereka berdua mensyaratkan sapu/gosok adalah syarat sah
mandi(junub) dan wuduk. (Rujuk kitab: al-Majmuk, Imam Nawawi)
Apakah dalil bagi pandangan ini?
Terdapat banyak dalil yang menyokong pandangan ini, antaranya:
عن ميمونة بنت الحارث رضي الله عنها زوج النبي صلى الله عليه وسلم - أنها
قالت : وضعت لرسول الله صلى الله عليه وسلم وضوء الجنابة ، فأكفأ بيمينه
على يساره مرتين - أو ثلاثا - ثم غسل فرجه ، ثم ضرب يده بالأرض ، أو الحائط
، مرتين - أو ثلاثا - ثم تمضمض واستنشق, وغسل وجهه وذراعيه ، ثم أفاض على
رأسه الماء ، ثم غسل جسده ، ثم تنحى ، فغسل رجليه ، فأتيته بخرقة فلم
يردها ، فجعل ينفض الماء بيده. (رواه الإمام البخاري في صحيحه, كتاب الغسل,
باب المضمضة والاستنشاق في الجنابة)
Maimunah bin al-Harith ra
isteri Nabi saw berkata, “aku meletakkan air untuk mandi junub untuk
Rasulullah saw, lantas baginda menuangkan (air) dengan tangan kanannya
pada tangan kirinya sebanyak dua atau tiga kali. Lalu baginda membasuh
kemaluannya, kemudian baginda menepukkan tangan pada tanah atau tembok
sebanyak dua atau tiga kali. Lalu baginda berkumur-kumur, memasukkan air
dalam hidung, membasuh wajah dan kedua lengannya. Kemudian baginda
menyiramkan air di atas kepalanya lantas membasuh anggota tubuhnya yang
lain. Beliau lalu menjauh dan mencuci kedua kakinya.” Hadith riwayat
Imam al-Bukhari.
Hadith di atas menunjukkan secara jelas
dengan lafaz “ثم أفاض على رأسه الماء” (Kemudian baginda menyiramkan air
di atas kepalanya) menunjukkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam
hanya menyiram air di atas kepala ketika mandi junub tanpa disebut
Baginda menyapu atau menggosok kepala, sedangkan kepada adalah salah
satu daripada anggota yang wajib dibasuh ketika wuduk mahupun mandi
junub.
Kesimpulannya, sapu atau gosok anggota ketika wuduk dan
mandi janabah adalah sunat bukan wajib menurut majoriti ulama melainkan
mazhab Maliki. Jika seseorang itu bertindak hanya mengalirkan air pada
anggota maka wuduk atau mandi janabahnya adalah sah, namun lebih afdal
dengan menyapu atau menggosok kerana ia lebih selamat dan pasti
tersentuhnya air pada anggota atau tubuh, berdasarkan sabda Nabi
Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam:
أسبغ الوضوء وخلل بين الأصابع وبالغ في الاستنشاق إلا أن تكون صائم
Maksudnya: “Sempurnakan lah wuduk dan celahi di antara jari jemari, dan
berlebih-lebihan ketika memasukkan air ke dalam hidung kecuali kamu
dalam keadaan berpuasa”. Hadith riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Abu
Daud.
Wallahu A'lam
Abu Ruqayyah Ba 'Alawi
---
Semoga apa yang dikongsikan dapat dimanfaatkan.
Ikuti beliau di https://www.facebook.com/syed.shahridzan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan