Khamis, 10 April 2014

Budak-budak Solat Kat Belakang - Kata Pakcik Itu.

"Budak-budak solat kat belakang", pernah dengar ungkapan tersebut? Mari kita baca pendapat ulama berkaitan perkara ini.

Tulisan ini TK ambil dari FB Ustaz Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi  Syed Shahridzan. Ditulis pada 1 Jamadilakhir 1435H bersamaan 1 April 2014.

Beliau menulis:
---
PENGASINGAN SAF KANAK-KANAK DI DALAM MASJID

Koleksi soalan:
Kebanyakkan masjid-masjid mengasingkan saf kanak-kanak. Pernah saya membawa anak saya yang berumur tujuh tahun dan saya meletakkan anak saya di sebelah saya untuk solat jemaah, tetapi saya diarahkan oleh jemaah masjid agar anak saya diletakkan di saf yang khusus dan berasing untuk kanak-kanak. Apakah pengasingan ini wujud di dalam ajaran Islam?

Jawapan:
Secara umumnya di dalam sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam perlu diutamakan golongan yang lebih tua(akil baligh) dalam menentukan siapa yang berhak berada di dalam saf yang terawal, sebagaimana yang diriwayatkan dari Baginda saw:

عن أبي مسعود قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمسح مناكبنا في الصلاة ويقول "استووا ولا تختلفوا فتختلف قلوبكم ليلني منكم أولو الأحلام والنهى "ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

رواه مسلم في صحيحه, كتاب الصلاة, باب تسوية الصفوف وإقامتها وفضل الأول فالأول منها والازدحام على الصف الأول والمسابقة إليها وتقديم أولي الفضل .
.وتقريبهم من الإمام

Maksudnya: Abu Mas'ud RA berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam mengusap bahu-bahu kami semasa solat, lalu bersabda: "Samakan barisan-barisan kamu, dan jangan ada yang berselisih (bahu) kerana perbuatan ini menyebabkan hati kamu semua berselisihan. Orang yang dewasa dan berakal di antara kamu hendaklah berada berhampiran dibelakangku, kemudian baris berikutnya." Hadith riwayat Imam Muslim

Imam Nawawi Rhm menjelaskan tujuan dan hikmah hadith ini di dalam Syarh Sahih Muslim:

في هذا الحديث تقديم الأفضل فالأفضل إلى الإمام لأنه أولى بالإكرام ، ولأنه ربما احتاج الإمام إلى استخلاف فيكون هو أولى ، ولأنه يتفطن لتنبيه الإمام على السهو لما لا يتفطن له غيره ، وليضبطوا صفة الصلاة ، ويحفظوها وينقلوها ويعلموها الناس وليقتدي بأفعالهم من وراءهم

Maksudnya: Hadith ini menunjukkan bahawa pengutamaan orang yang lebih afdal, maka yang lebih afdal lebih layak untuk hampir kepada imam kerana dia lebih utama untuk dimuliakan. Ini kerana imam memerlukan pengganti(jika terbatal solatnya) maka yang menggantikan itu perlulah yang lebih afdal kerana dia lebih faham untuk menegur imam yang terlupa yang mana orang lain tidak memahami tentang itu, begitu juga untuk memperbetulkan sifat solat, menjaga bentuknya dan mengajar(menjadi contoh) orang ramai supaya perbuatan-perbuatan(solat) ditiru oleh orang-orang di belakang mereka. (Syarh Sahih Muslim)

Imam Nawawi menerangkan bahawa fungsi golongan dewasa diutamakan pada saf yang pertama bertujuan membantu Imam solat jemaah jika berlakunya kesilapan ketika mengerjakan solat, selain itu ia menjadi contoh dan boleh berperanan sebagai tunjuk ajar kepada yang lain. Oleh itu perlunya orang dewasa yang berada di saf yang paling hadapan.

Walaubagaimana pun tiada kenyataan dari beliau mengenai keperluan diasingkan saf kanak-kanak dari dewasa. Fakta ini banyak disokong oleh kitab-kitab fiqh mazhab Syafi'ie yang lain, antaranya Imam al-Imrani al-Syafi'ie di dalam kitabnya 'al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi'ie'

أن الصبي له موقف في الصف كالبالغ؛ لأن ابن عباس كان صبيًّا.

البيان في مذهب الإمام الشافعيِ . أبو الحسين يحيى بن أبي الخير بن سالم العمراني اليمني الشافعي (المتوفى: 558هـ) كتاب الصلاة

Maksudnya: “Sesungguhnya kanak-kanak lelaki kedudukan safnya sama seperti saf orang-orang yang baligh, kerana Ibnu Abbas Radiyallahu ‘Anhuma merupakan kanak-kanak lelaki (ketika bersolat berjemaah bersama Rasulullah).”

Malah sebahagian ulama mazhab Syafi'ie mengharuskan agar kanak-kanak diletakkan di antara lelaki dewasa bagi tujuan pendidikan solat, seperti yang dinyatakan oleh Imam Fakhrul Islam al-Mustazhiri:

فَإِن حضر رجال وصبيان وقف الرِّجَال فِي الصَّفّ الأول ثمَّ الصّبيان, وَمن أَصْحَابنَا من قَالَ يقف بَين كل رجلَيْنِ صبي ليتعلم مِنْهُم الصَّلَاة وَهُوَ قَول مَالك.

حلية العلماء في معرفة مذاهب الفقهاء, محمد بن أحمد بن الحسين بن عمر، أبو بكر الشاشي القفال الفارقيّ، الملقب فخر الإسلام، المستظهري الشافعي (المتوفى: 507هـ). الجزء الثاني, فصل إذا تكرر منه السهو في الصلاة.

Maksudnya: “Jika lelaki-lelaki baligh dan kanak-kanak lelaki hadir (bersama), maka lelaki-lelaki baligh berdiri di saf hadapan kemudian diikuti kanak-kanak lelaki. Sebahagian ulama kami(mazhab Syafi’ie) menyatakan kanak-kanak lelaki (diharuskan) berdiri di antara lelaki-lelaki dewasa untuk tujuan mereka belajar dari mereka(dewasa) tentang solat, dan ini adalah pendapat Imam Malik.” (Rujuk: Hilyah al-'Ulama fi Ma'rifah al-'Ulama)

Banyak di dalam kitab-kitab fiqh Syafi'ie menyatakan jika kanak-kanak mendahului orang dewasa di dalam kedudukan saf maka tidak harus kanak-kanak itu dipindahkan ke belakang, antaranya kitab Mughni al-Muhtaj oleh Imam al-Khatib al-Syarbini:

لو سبق الصبيان بالحضور لم يؤخروا للرجال اللاحقين كما لو سبقوا إلى الصف الأول فإنهم أحق به على الصحيح، نقله في الكفاية عن القاضي حسين وغيره
وأقره لأنهم من جنسهم بخلاف الخناثى والنساء.

مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج, شمس الدين، محمد بن أحمد الخطيب الشربيني الشافعي (المتوفى: 977هـ). كتاب الصلاة, في شروط الاقتداء وآدابه.

Maksudnya: “Jika kanak-kanak lelaki hadir dahulu, maka kanak-kanak tersebut tidak diundurkan ke belakang untuk (memberi laluan) lelaki-lelaki baligh, sepertimana jika kanak-kanak lelaki mendahului pada saf yang pertama maka mereka berhak (untuk tetap pada saf tersebut) menurut pandangan yang sahih sepertimana yang dinukilkan di dalam kitab al-Kifayah dari al-Qadhi Husein dan selainnya, beliau memperakui bahawa mereka(kanak-kanak lelaki) merupakan sejantina dengan lelaki baligh berbeza dengan wanita dan khunsa.”

Selain itu, ia dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam al-Fatawa al-Kubra:

بقوله المعتمد أن الصبيان متى سبقوا البالغين إلى الصف الأول لم يجز لهم
.إخراجهم بخلاف الخناثى والنساء كما جزمت بذلك في شرح الإرشاد

ابن حجر الهيتمي, الفتاوى الكبرى. كتاب الصلاة, باب شروط الإمامة وما يتعلق بها

Maksudnya: “Pendapat yang mu‘tamad(yang paling kuat) bahawa kanak-kanak lelaki itu bila mereka mendahului orang-orang yang baligh dalam saf yang pertama, maka orang-orang yang telah baligh tidak boleh mengeluarkan kanak-kanak lelaki itu dari saf yang pertama, bersalahan dengan orang-orang khunsa(orang-orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan perempuan-perempuan hendaklah dikeluarkan mereka dari saf yang pertama sebagaimana saya (Al-Imam Ibnu Hajar) telah mengesahkan perkara ini dalam kitab saya Syarh Al-Irsyad.”

Kanak-kanak bukan sahaja diharuskan bersama-sama dengan orang dewasa di dalam saf solat, malah kanak-kanak juga diharuskan menjadi imam solat, ini dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam al-Iqna':

(والبالغ بالمراهق) لأن عمرو بن سلمة بكسر اللام كان يؤم قومه على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو ابن ست أو سبع رواه البخاري.

الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع, شمس الدين، محمد بن أحمد الخطيب
الشربيني الشافعي (المتوفى: 977هـ). كتاب الصلاة, فصل في صلاة الجماعة.

Maksudnya: “…. dan kanak-kanak (boleh menjadi imam) kerana Amru bin Salimah Radiyallahu ‘anhu mengimami kaumnya ketika beliau berumur enam atau tujuh tahun sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari.”

ADAKAH KANAK-KANAK YANG BELUM DIKHATAN PERLU DIASINGKAN SAFNYA KERANA IA MEMBAWA NAJIS?

Di dalam Islam, kanak-kanak digalakkan untuk mengerjakan solat seusia 7 tahun dan dipukul dengan pukulan tidak mencederakan jika enggan melaksanakannya apabila mencapai usia 10 tahun. Sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam:

."مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع واضربوهم عليها وهم أبناء عشر، وفرقوا بينهم في المضاجع"

“Perintahlah anak-anak kamu untuk mengerjakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka bila usia sepuluh tahun jika tidak mengerjakan solat, serta pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka.” Hadith riwayat Imam Abu Daud.

Perintah Baginda saw di atas adalah bersifat umum iaitu perintah ini tidak hanya untuk kanak-kanak yang sudah berkhatan, maka perintah ini merangkumi semua jenis kanak-kanak samaada yang sudah berkhatan atau belum.

Jika lah kanak-kanak yang berkhatan diketogarikan sebagai orang yang membawa najis maka perintah solat ke atas kanak-kanak yang belum berkhatan adalah sia-sia dan tidak sah. Ia suatu perkara yang mustahil. Malah solat individu yang tidak berkhatan adalah sah, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitab al-Majmuk:

يصح حج الأغلف وهو الذي لم يختن . هذا مذهبنا ومذهب العلماء كافة ( وأما ) حديث أبي بردة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : { لا يحج الأغلف حتى يختن } فضعيف

المجموع شرح المهذب للنووي. كتاب الحج, أحرم الصبي بالحج ثم بلغ أو العبد ثم عتق, فرع حج المحجور عليه لسفه

Maksudnya: Haji orang yang tidak berkhatan adalah sah, ini adalah pendapat mazhab kami(Syafi'ie) dan pendapat sekelian para ulama, manakala hadith Abu Burdah yang meriwayatkan dari Nabi Sallallahu 'alaihi wa sallam, "Tiada haji bagi orang yang tidak berkhatan sehinggalah dia berkhatan" adalah hadith daif.

Jika haji orang yang berkhatan itu sah maka solat orang yang tidak berkhatan juga adalah sah di sisi para ulama.

Jika lah kanak-kanak yang belum berkhatan didakwa membawa najis sekali pun maka ia tidak memberi kesan pada solat jemaah tersebut samaada mengurangkan pahala jemaah apatah lagi membatalkan solat jemaah tersebut.

Fakta ini secara jelas diiktiraf di dalam mazhab Syafi'ie seperti yang dinyatakan di dalam kitab 'Bughyah al-Mustarsyidin' oleh Sheikh al-Habib Abdul Rahman bin Muhammad Ba 'Alawi:

لو كان في الصف من لا تصح صلاته لنحو نجاسة أو لحن ، أو كان أهل الصف المتقدم كذلك ، لم تفت فضيلة الجماعة على من وراءهم.

بغية المسترشدين في تلخيص فتاوى بعض الأئمة من العلماء المتأخرين, عبد الرحمن بن محمد بن حسين بن عمر باعلوي

Maksudnya: “Jika ada di dalam saf sesiapa yang tiada sah sembahyangnya seperti ada najis padanya, atau ada lahn (seperti tidak betul bacaan Fatihahnya) atau pada saf yang di hadapan terdapat orang yang berkeadaan sedemikian, maka tidak luput fadilat Jemaah mereka yang berada di belakang mereka.”

KESIMPULAN ISU INI MENURUT MAZHAB SYAFI'IE:

1) Disunatkan meletakkan golongan dewasa di saf terawal terutama di belakang imam untuk tujuan membantu imam jika salah atau lupa di dalam solat, selain itu ia menjadi contoh kepada yang lain dibelakang.

2) Jelas di dalam hadith bahawa saf kanak-kanak sama dan setanding dengan golongan dewasa.

3) Kanak-kanak yang mendahului orang dewasa dalam mengambil tempat di dalam saf depan, maka tidak seharusnya kanak-kanak itu dipindahkan ke belakang.

4) Kanak-kanak bukan sahaja boleh berada dalam barisan saf bersama orang-orang dewasa, malah kanak-kanak diharuskan menjadi imam solat yang mana jemaahnya terdiri dari golongan dewasa.

5) Kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan tidak dikira sebagai pembawa najis dan solat mereka adalah sah.

6) Jika di dalam saf solat terdapat individu yang membawa najis, ia sama sekali tidak menjejaskan fadilat solat jemaah untuk jemaah lain dan begitu juga tidak menjejaskan keabsahan solat jemaah tersebut.

7) Tiada nas secara jelas yang menganjurkan agar diasingkan saf kanak-kanak dari orang dewasa, begitu juga di dalam mazhab Syafi'ie.

Wallahu A'lam

Abu Ruqayyah Ba 'Alawi

---
Semoga apa yang dikongsikan dapat dimanfaatkan.

Ikuti beliau di https://www.facebook.com/syed.shahridzan 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan