Selasa, 8 April 2014

Nak Puasa Tapi Matahari Dah Terbit

Seringkali ingin berpuasa sunat, namun oleh kerana kelemahan diri, apabila matahari telah terbit baru teringat ingin berpuasa.

Tulisan ini TK ambil dari FB Ustaz Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi  Syed Shahridzan. Ditulis pada 7 Jamadilakhir 1435H bersamaan 7 April 2014.

Beliau menulis:
---
NIAT PUASA SETELAH TERBIT MATAHARI

Koleksi soalan:
Saya pernah terlupa untuk berniat puasa sunat, bolehkah niat puasa tersebut dilakukan selepas terbit matahari? Sebagai contoh saya bangun pagi selepas azan subuh, lalu saya disapa oleh rakan serumah saya, "Awak tidak berpuasa 'Asyura hari ini?". Dalam situasi ini bolehkah saya berniat puasa walaupun azan subuh sudah berlalu dan dalam masa yang sama, saya belum makan atau minum apa-apa?

Jawapan:
Menurut mazhab Syafi'ie niat puasa sunat harus(boleh) dilaksanakan pada siang hari iaitu selepas matahari terbit, ini juga merupakan pendapat mazhab Hanafi dan Hanbali. Perkara ini dinyatakan oleh oleh al-Imam al-'Imrani(meninggal: 558h) di dalam al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi'ie:

ولا يصح صوم التطوع إلا بالنية، لما ذكرناه في الفرض، ولكن يصح بنية من النهار، وبه قال أبو حنيفة، وأحمد، وروي ذلك عن أبي طلحة من الصحابة.

Maksudnya: Tidak sah puasa sunat melainkan dengan niat, sepertimana yang telah kami sebutkan pada bahagian (puasa) fardu, akan tetapi sah (puasa sunat) dengan niat pada sebahagian dari siang. Ini adalah pendapat Abu Hanifah, Ahmad dan diriwayatkan juga dari Abu Talhah dari kalangan sahabat.

Jika sekalipun seseorang itu berniat pada lewat waktu siang sekali pun, puasa sunatnya tetap sah, seperti yang dinyatakan oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari:

فلو نوى قبل الزوال وقد مضى معظم النهار صح صومه، والأصح أن صومه من أول النهار حتى يثاث على جميعه إذ صوم اليوم لا يتبعض كما في الركعة بإدراك الركوع

راجع: الغرر البهية في شرح البهجة الوردية

Maksudnya: Jika dia berniat sebelum terbenam matahari dan telah berlalunya sebahagian besar waktu siang, maka puasanya tetap sah. Pendapat yang paling sahih sesungguh puasanya dikira dari awal siang hari sehinggakan diberi ganjaran pahala atas keseluruhannya di mana (pahala) puasa tidak boleh dibahagi-bahagikan sepertimana rakaat dikira dengan mengikuti rukuk.

Sheikhul Islam menjelaskan, jika seseorang itu lewat berniat puasa sunat, puasanya dikira dan diberi pahala penuh dan ini disokong oleh Imam al-Ghazzali. Namun terdapat pendapat dari sebahagian ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa pahala puasa dikira mula niat seseorang itu, ini adalah pendapat Imam al-Mas'udi dan Imam Abu Ishaq.

Menurut Imam al-Rafi'ie(meninggal: 628h) di dalam Fathul 'Aziz:

فتصح نيتة من النهار وبه قال احمد خلافا لمالك والمزنى وأبى يحيى البلخى * لنا انه صلى الله عليه وسلم " كان يدخل علي بعض ازواجه فيقول هل من غذاء فان قالت لا قال إنى صائم

Maksudnya: Maka sah niat pada sebahagian siang hari dan ini seperti yang dinyatakan oleh Ahmad, ia bertentangan dengan pendapat Malik, al-Muzani, Abu Yahya al-Balkhi. Sepertimana yang diceritakan kepada kami bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam masuk ke dalam rumah sebahagian isteri-isteri Baginda seraya bertanya, "Adakah apa-apa makanan?" Lalu isteri baginda menjawab, "Tiada". Baginda pun membalas, "Aku berpuasa".

Imam al-Rafi'ie menyertakan dalil yang menguatkan pandangan ini, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya yang berbunyi:

عن عائشة - رضي الله عنها ، قالت : دخل علي النبي - صلى الله عليه وسلم - ذات يوم فقال : ( هل عندكم شيء ؟ ) فقلنا : لا ، قال : ( فإني إذا صائم ) . ثم أتانا يوما آخر ، فقلنا : يا رسول الله ! أهدي لنا حيس ، فقال : ( أرينيه فلقد أصبحت صائما ) فأكل .

صحيح مسلم, كتاب الصيام, باب جواز صوم النافلة بنية من النهار قبل الزوال وجواز فطر الصائم نفلا من غير عذر

Maksudnya: Aisyah Radiyallahu 'anha berkata “Suatu hari Nabi SAW masuk menemui aku dan bersabda: “Ada apa-apa di sisi kamu(makanan)?” Kami menjawab: “Tiada.” Jawab baginda: “Jika begitu aku berpuasa.” Di hari lain, baginda datang menemuiku di rumah, lalu kami katakan kepada baginda: “Wahai Rasulullah, ada seseorang menghadiahkan kita Hais (sejenis makanan)”. Lalu baginda bersabda: “Tunjukkan kepadaku, pagi tadi aku berpuasa.” Setelah itu baginda menjamahnya.”

Imam memberi komentar tentang hadith ini di dalam Syarh Sahih Muslim, kata beliau:

وفيه دليل لمذهب الجمهور أن صوم النافلة يجوز بنية في النهار قبل زوال الشمس ، ويتأوله الآخرون على أن سؤاله صلى الله عليه وسلم : ( هل عندكم شيء ) . ؟ لكونه ضعف عن الصوم ، وكان نواه من الليل ، فأراد الفطر للضعف ، وهذا تأويل فاسد ، وتكلف بعيد

Maksudnya: Hadith ini merupakan dalil bagi mazhab majoriti yang menyatakan bahawa puasa sunat boleh diniatkan pada siang hari sebelum terbenam matahari. Sebahagian yang lain mentakwilkan soalan Rasulullah SAW (Ada apa-apa di sisi kamu?) di mana keadaan baginda yang lemah untuk berpuasa dan baginda telah berniat puasa pada malam hari, lalu baginda mahu berbuka kerana tidak berdaya. Ini adalah takwil yang fasid dan usaha yang jauh(dari makna sebenar).

Jelas melalui hadith di atas menunjukkan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam berniat puasa pada siang hari iaitu setelah terbit matahari. Hadith di atas juga menunjukkan bahawa puasa yang dimaksudkan ialah puasa sunat kerana tidak mungkin baginda meminta atau bertanya makanan ketika bulan Ramadan.

KESIMPULAN:

1) Diharuskan berniat puasa sunat setelah terbit matahari asalkan belum makan atau minum apa-apa pun berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA. Ini adalah pendapat majoriti ulama iaitu mazhab Hanafi, Syafi'ie dan Hanbali.

2) Tidak boleh berniat setelah terbit matahari untuk puasa fardu atau wajib kerana tiada nas atau dalil yang menyokongnya. Niat puasa fardu hanya sah dilakukan sebelum terbit matahari.

3) Seseorang yang lambat memasang niat puasa sunat atau berniat di siang hari, dia tetap mendapat pahala penuh menurut pendapat yang paling kuat di dalam mazhab Syafi'ie.

Wallahu A'lam

Abu Ruqayyah Ba 'Alawi

---
Semoga apa yang dikongsikan dapat dimanfaatkan.

Ikuti beliau di https://www.facebook.com/syed.shahridzan 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan